Tidak susah jinakkan rusa

    Pengunjung yang datang ke ladang rusa YnZ untuk melihat rusa jinak.
Rusa
Daging rusa
Rusa

Zamani Md Isa

ADUN Bertam YB Khaled Mehtab semasa melawat ladang YnZ Deer Farm

KHAIRUNNISA SULAIMAN

Sebelum ini bila sebut rusa mesti kita terbayangkan haiwan liar, lasak dan ganas – mustahil untuk dipegang apatah lagi dibelai.

Tetapi perkara mustahil ini menjadi kenyataan apabila pemilik ladang ternakan rusa YNZ Deer Farm di Kepala Batas, Pulau Pinang, Zamani Md Isa, 44, berjaya menjinakkan berpuluh ekor rusa sejak empat tahun lalu.

“Segalanya bermula dengan hobi. Saya hanya cuba memelihara beberapa ekor rusa timorensis yang tidak memerlukan lesen berbanding rusa sambar.

“Apabila anak rusa berusia kira-kira seminggu saya pisahkan dari ibunya dan bagi susu kambing segar menggunakan botol,” katanya yang memberikan sepenuh perhatian kepada anak rusa ini sehingga berusia empat atau lima bulan atau putus susu.

Ketika itu anak rusa akan merasa selesa dengan manusia dan mudah dibelai.

Zamani menambah, selepas tempoh itu rusa akan lebih mudah dikendalikan.

“Sebenarnya bermain dengan rusa boleh mengurangkan stres dan sesuai dijadikan haiwan peliharaan.

“Jangan bimbang kerana rusa tidak berbau, tidak bising dan tidak memerlukan ruang yang luas lebih kurang 10 kaki x 10 kaki bagi seekor hingga dua ekor rusa pada satu masa,” katanya yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Rusa jelas Zamani memang mudah dijaga, kurang berbau dan sesuai diberi makanan seperti dedak, rumput dan buah-buahan.

“Padang ragut mungkin boleh dipertimbangkan jika rusa diternak secara komersil bagi lebih 10 ekor,” jelasnya yang sering memandikan rusa-rusanya.

Rusa mula matang apabila usia menjangkau setahun bagi betina dan setahun tujuh bulan bagi jantan.

Biasanya rusa beranak seekor dan jarang beranak dua ekor atau kembar.

Tempoh bunting rusa betina adalah antara tujuh hingga lapan bulan bermakna seekor rusa betina boleh melahirkan sehingga tiga ekor anak tempoh dua tahun.

Zamani menambah, jika dijaga dengan betul rusa cepat membiak manakala tahap kesihatan rusa cukup senang dijaga kerana mempunyai daya tahan badan yang tinggi.

“Kadar kematian rusa pula amat rendah iaitu dua hingga lima peratus sahaja.

“Jangka hayat rusa antara 10 hingga 15 tahun,” katanya.

Rusa sudah boleh disembelih apabila berusia setahun lima bulan ke atas.

Pasaran rusa memang besar dan bekalan tidak dapat memenuhi permintaan dan ruang untuk penternak baru sentiasa terbuka.

Harga seekor rusa hidup boleh mencapai antara RM1,800 ke RM4,500 mengikut umur serta saiz serta berat badan.

Manakala harga daging rusa adalah berikut:-

1. Daging sahaja RM80.00

2. Daging bertulang RM70.00

3. Tanduk RM300 ke RM1,200 mengikut saiz tanduk.

Zamani mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk singgah ke ladangnya di Permatang Bertam, Kepala Batas untuk mengalami sendiri rusa jinak.

“Saya juga menjalankan trading (jual beli) dan breeding (pembiakan) rusa di sini.

“Saya membekalkan rusa ke seluruh semenanjung dan paling jauh saya bekalkan ke Johor dengan kos pengangkutan mengikut jarak,” katanya.

Pembeli yang membeli rusa dari Zamani akan diberikan coaching atau latihan bagaimana untuk mengendalikan rusa.

“Biasanya coching tidak memakan masa yang lama dengan penternak baru kerana rusa telah jinak,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rusa boleh ke Kampung Permatang Bertam 13200 Kepala Batas Pulau Pinang atau ke facebook

Fb : YNZ FARM / YNZ DEER FARM

TEL : 0192026565

Advertisements